Monday, December 20, 2010

BAS TERBABAS CAMERON HIGHLAND

KEMALANGAN JALANRAYA TERBURUK

NAHAS TERBURUK


27 maut (25 rakyat Thailand dan 2 rakyat tempatan)



LAJU, TEKNIKAL ATAU MINYAK??

SIMPANG PULAI: “Saya melihat bas persiaran itu terhoyong-hayang dan laju turun bukit membelok selekoh tajam. Selepas itu, bas dua tingkat itu terus langgar konkrit pembahagi jalan sebelum terbalik ke dalam longkang dengan bahagian bumbung menghentam batu bukit,” kata Monat Rahen, antara saksi terawal yang melihat kemalangan itu di Kilometer 15 di sini, pagi semalam.

“Kami lihat ada penumpang tercampak keluar dari bas, termasuk kanak-kanak dan warga emas. Keadaan menjadi cemas apabila kebanyakan penumpang cedera dan menjerit meminta tolong,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Seorang lagi saksi, Muhammad Shafwan Mohd Nan, 17, berkata ketika tiba di kawasan kemalangan itu, dia melihat ada seorang warga emas berusia lingkungan 60-an sudah tercampak keluar dari kenderaan itu.

Dia juga melihat mayat bergelimpang atas jalan raya, termasuk ada kanak-kanak terbaring dalam longkang dipercayai tercampak dari bas serta beberapa mangsa yang cedera dan berlumuran darah keluar dari bas yang terbalik.

“Tangisan dan jeritan meminta tolong kedengaran dari bas yang terbalik, selain kelihatan banyak darah di bahagian tempat duduk. Sejurus kemudian, pasukan penyelamat tiba dan saya melihat ada mayat dibawa keluar dari bas berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh, Ahmad Aminudin Abdul Rahim, berkata ketika tiba di tempat kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari, beliau melihat ada beberapa tubuh bergelimpangan di jalan raya dan ada yang terhumban dalam longkang, tetapi tidak dapat mengesahkan sama ada mangsa sudah meninggal dunia.


SUMBER: berita harian



No comments:

Post a Comment